Loghat Orang Siak Inderapura Tak Tumpah Orang N9
TUTUR KATA ORANG SIAK MIRIP ORANG NOGORI
5.30 petang, 21 Februari: Muzium Siak yang
dahulunya Istana Sultan Siak Inderapura telah hampir satu jam ditutup.
Namun kru penggambaran Jejak Bahasa dari TV3 masih berada di dalam untuk
mengabadikan beberapa barang purba ke dalam media selulos. Antara
barang yang diabadikan termasuklah manuskrip dan perjanjian lama yang
dibuat Sultan Siak dengan Belanda. Juga yang menjadi tarikan kru ialah
sebuah alat muzik lama, satu daripada dua yang masih ada di dunia. Di
luar muzium tiga orang gadis menghampiri pintu masuk. Mereka mahu masuk
tetapi dicegat pengawal muzium. Kata seorang gadis, “Awak nak nengok!”
Dia merayu supaya membenarkannya masuk tetapi tetap dihalang. Kata
pengawal, “Ada TV3 dari Malaysia lagi shooting.”
Gadis itu membahasakan dirinya “awak”. Dan awak di Siak bererti saya.
Lalu saya teringat akan bahasa orang negeri Sembilan, terutama Rembau
yang lazimnya membahasakan dirinya “awak”. Beberapa minit kemudian saya
mendengar pula pengawal itu bersembang dengan seorang kawannya yang
baru sampai. Tanya pengawal, “Malam ini kau buek apo?” Kawannya
menjawab, “Tak ada buek apa doh! Duduk yo di rumah. Nak nengok
budak-budak itu baco buku sekolah.” Budak-budak bermaksud anak-anaknya.
Sekali lagi saya teringatkan dialek orang negeri Sembilan. Pernah
Prof. Madya Zainal Borhan menjelaskan bahawa dialek pertuturan orang
Siak sama dengan orang di Negeri Sembilan.
Malam itu saya menghubungi Dharmamawijaya, penyair dan budyawan
terbilang di Seremban melalui telefon. Saya hendakkan kepastian tentang
perbilangan tentang hubungan Siak dengan Negeri Sembilan, terutama
Rembau. Dharwamijaya membacakan satu petikan dari sebuah buku, “ Raja
Mahmud dijadikan raja di Negeri Sembilan (Rembau) dan menetap di Penajis
dengan gelaran Raja Melewar, setelah mendapat restu dari Sultan Johor pada kurun ke-17. Maka adalah perbilangan yang berbunyi, Beraja ke Johor, bertali ke Siak dan bertuan ke Minangkabau.”
Pengarang buku “Negeri Yang Sembilan” Nurhalim Ibrahim pula suatu
ketika pernah cuba mencari makna perbilangan ini. Nurhalim berpendapat
Bertali Ke Siak itu mungkin membawa maksud orang-orang di Negeri
Sembilan, khususnya Rembau kebanyakannya mempunyai hubungan keluarga
dengan orang Siak. Ada pertalian darah. Kurang pasti apakah Datuk Lela
Balang, yang keturunannya menjadi Undang Rembau sejak abad ke-16 lagi
berasal dari Siak atau dari Minangkabau. Dalam pada itu ada pula
suku-suku di Rembau yang sama namanya dengan suku-suku di Siak, seperti
suku tanah datar. Andainya Nurhalim turut berada di Siak dan mendengar
pertuturan penduduknya, adalah diyakini Nurhalim akan membuat kesimpulan
bahawa sebenarnyalah orang Rembau (Negeri Sembilan) itu sebahagian
besarnya berasal dari Siak.
Pengaruh dialek Minang dalam bahasa Melayu Siak amat ketara, walaupun orang Siak tidak bercakap dalam bahasa Minang.
Lenggok intonasi pertuturan orang Siak amat berbeza dengan orang Minang
tetapi lenggok intonasi pertuturan orang Rembau hampir sama dengan
lenggok orang Siak. Amat menarik jika orang Rembau di Negeri Sembilan
mengunjungi Siak Sri Indrapura,
apakah perasaannya? Apakah ia terasa akan wujud keterikatan daripada
sudut pertuturan dan pertalian darah yang kental setelah mendengar orang
Siak bercakap atau melihat keadaan alam sekeliling yang saling tak
tumpah dengan di daerahnya sendiri? Di tebing Sungai Siak penuh dengan
pokok rumbia. Ada juga pokok mengkuang. Kelapa sawit dan getah menjadi
tanaman utama. Sepanjang perjalanan dari Pekan Baru, ibukota Propinsi Riau ke Siak Sri Indrapura yang dilihat di kiri kanan hanya estet kelapa sawit, getah dan dusun buah-buahan.
Siak Sri Indrapura suatu ketika dahulu merupakan sebuah kerajaan
besar dan berdaulat. Daerah takluknya menjangkau wilayah yang hari ini
terletaknya Medan di Sumatera Utara. Menurut sejarah, Kerajaan Siak
diasaskan oleh Raja Kecil (Raja Kecik, menurut sebutan orang Siak), yang
dikatakan anak Sultan Mahmud Johor yang mangkat dijulang pada tahun
1699. Drs Husrin, dari pejabat Pelancongan Siak menjelaskan anak Sultan
Mahmud dengan isterinya Cik Pung ini, yang masih bayi ketika dibawa
lari ke Sumatera.
Cerita pelarian Raja Kecil ini mempunyai dua versi. Menurut versi
pertama, setelah Sultan mangkat dijulang setelah ditikam Laksamana
Bentan dalam perjalanan ke masjid, Cik Pung dilarikan bersama bayinya
ke Jambi lalu ke Sumatera Selatan. Di sana anaknya itu dibesarkan dan
akhirnya mengasaskan kerajaan Siak. Menurut versi kedua pula, Cik Pung
dan anaknya dibawa lari ke Jambi lalu ke Pagar Ruyung di Sumatera Barat
(Minangkabau). Setelah dewasa Raja Kecil perlu membuktikan dirinya anak
raja dengan memanjat pohon jelatang, sejenis pokok yang daunnya jika
dipegang atau disentuh membuat orang gatal-gatal. Raja Kecil memanjat
pohon itu dan kemudian turun tanpa mengalami gatal-gatal di tubuhnya.
Dengan ujian ini Raja Pagar Ruyung mengisytiharkan Raja Kecil
sememangnyalah seorang anak raja sebenar-benarnya.
Siak waktu itu masih di bawah takluk Johor tetapi hanya pada nama
dan diketuai oleh seorang Shahbandar. Maka oleh Raja Kecil Siak
dijadikan pusat kekuasaannya dengan mengasaskan sebuah kerajaan apa
yang dipanggil Kerajaan Siak Sri Indrapura. Raja Kecil menjadi raja
dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah dan bertakhta dari tahun
1723 hingga 1745. Baginda memerangi Johor yang di bawah sultan yang
bernisabkan Bendahara, setelah kemangkatan Sultan Mahmud dikatakan tidak meninggalkan pengganti.
Ahli sejarah berpendapat Sultan Mahmud mangkat dibunuh tanpa
mempunyai anak sebagai ganti. Maka ditabalkanlah Bendahara sebagai
pengganti raja untuk memerintah Johor dan akhirnya keturunannya menjadi
raja untuk wilayah takluk yang meliputi Johor, Riau, Pahang dan Lingga.
Sultan terakhir di kalangan keturunan Bendahara ini ialah Sultan Ali yang keturunannya telah diusir keluar dari Istana Sri Gelam Singapura pada tahun lalu melalui satu enakmen Parlimen Singapura.
Apapun jua, Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah bercita-cita merebut
takhta milik ayahanadanya Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dari tangan
sultan keturunan Bendahara. Beberapa peperangan terjadi dengan menang
dan kalah menjadi adat orang berperang. Pernah Sultan Abdul Jalil Rahmat
menguasai seluruh kerajaan Johor namun akhirnya baginda terpaksa akur
dengan kekuatan Johor. Bagaimanapun, semangat juang Sultan Abdul Jalil
Rahmat ini diteruskan oleh penggantinya yang pada kali ini menentang
penjajahan Belanda pula.
Ada sebelas sultan yang bertakhta di Siak Sri Indrapura saling silih
berganti sejak mangkatnya Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kecil)
pada tahun 1746. Mereka terdiri daripada anakanda baginda Sultan Abdul
Jalil Muzaffar Shah (1746-1765); Sultan Abdul Jalil Jalaluddin Shah
(1765-1766); Sultan Abdul Jalil Alamuddin Shah (1766-1780); Sultan
Muhammad Ali Abdul Jalil Muazzam Shah (1780-1782); Sultan Yahya Abdul
Jalil Muzaffar Shah (1782-1784); Sultan Assyidis Syarif Ali Abdul Jalil
Syaifuddin Baalawi (1784-1810). Baginda merupakan sultan pertama yang
berdarah Arab dengan gelar Sayed Syarif. Baginda adalah anakanda kepada
puteri Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah, sultan yang keenam
memerintah Siak. Puteri ini berkahwin dengan bangsawan Arab. Ketika
Sultan Abdul Jalil Muzaffar Shah mangkat di Dungun ketika mengunjungi
Terengganu pada tahun 1784, cucu baginda yang berdarah Arab ini menjadi
penggantinya.
Sultan pertama berdarah Arab ini mangkat pada tahun 1810 dan
digantikan oleh puteranya dengan gelar Sultan Assyaidis Syarif Ibrahim
Abdul Jalil Khaliluddin (1810-1815). Penggantinya Sultan Assyaidis
Syarif Ismail Abdul Jalil Jalaluddin (1815-1854). Anakanda baginda naik
takhta pada tahun 1854 dengan gelar Sultan Assyaidis Syarif Kassim Abd
Jalil. Baginda naik takhta sehingga tahun 1889. Setelah mangkat baginda
digantikan oleh Sultan Assyaidis Syarif Hashim Abdul Jalil Syaifuddin
(1889-1908). Anakanda baginda yang bernama Tengku Sulong naik takhta
setelah tujuh tahun kemangkatan ayahandanya, Sultan Assyaidis Syarif
Hashim Abdul Jalil Syaifuddin, iaitu pada tahun 1915.
Baginda merupakan sultan terakhir Siak setelah baginda menyatakan
taat setia kerajaan Siak kepada pemerintah Republik Indonesia dan
bersama berjuang menentang Belanda. Pernyataan baginda ini mendapat
bantahan keras dari Belanda. Akhirnya baginda meninggalkan Siak lalu
menggabungkan diri dengan rakyat Indonesia untuk melanjutkan perjuangan
di daerah Aceh. Sebelum meninggalkan Siak baginda menyerahkan istananya
beserta keseluruhan kekayaan Siak kepada Pemerintah Republik Indonesia.
Setelah Indonesia rasmi merdeka pada 17 Ogos 1945 baginda berangkat ke
Jakarta dan tinggal menetap di sana dengan mendapat pencen dari
Pemerintah Indonesia.
Beberapa tahun kemudian baginda kembali ke Siak, tanah tumpah
darahnya dan wafat pada 23 April 1968 dalam usia 76 tahun. Baginda
dimakamkan berdekatan dengan masjid Shahabuddin Sri Indrapura dengan
penuh istiadat kenegaraan. Baginda dianugerahkan secara “post humus”
gelar Pahlawan Nasional dengan disertai piagam dan tanda kehormatan
Bintang Mahaputra Adipradana oleh Presiden Republik Indonesia pada tahun
1998 sebagai mengenang jasanya berjuang menentang Belanda. .
Muzium Siak Sri Indrapura yang terletak kira-kira 300 meter dari
masjid ini adalah lambang kebesaran kesultanan Siak terutama sultan
terakhirnya. Di dalamnya terdapat pelbagai khazanah peninggalan sultan
sejak tahun 1725, walaupun ada di antaranya hanya tiruan daripa
Ketika pertemuan dengan Timbalan Setiausaha Daerah Kabupaten Siak,
Drs Zul Irianto, 19 Fenruari lalu, kepada rombongan Jejak Bahasa
diperjelaskan komitmen Siak sebagai sebuah daerah dalam kesatuan
republik Indonesia. Penduduk Siak sejak berada dalam republik telah
mengalami pelbagai situasi politik. Suka dan duka silih berganti.
Setelah menjadi rakyat sebuah kesultanan besar yang mempunyai daerah
takluk hingga ke daerah Sumatera Utara bersempadankan Aceh, penduduk
yang kini dianggarkan berjumlah hanya 20,000 orang ini turun status
menjadi warga bertaraf kacamatan (desa). Hanya pada tahun lalu, Siak
dinaik taraf menjadi sebuah kabupaten semacam regency atau daerah.
Keadaan hidup masih dianggap dhaif. Penduduk masih mendapatkan air
dari sungai Siak yang dianggap terdalam di seluruh Indonesia. Telaga
masih menjadi suatukemudahan asas di setiap rumah dan kedai. Zul Irianto
menjelaskan setelah Siak Sri Indrapura naik taraf maka pembangunan akan
diusahakan secara terancang sesuai dengan kedudukannya sebagai salah
sebuah kabupaten dalam Propinsi Riau. Barangkali di dalam kepala
timbalan setiausaha daerah ini terdapat pemikiran bagaimana suatu hari
nanti penduduk Siak tidak lagi perlu mandi dari air sungai Siak yang
kemerahan warnanya akibat pencemaran di hulu sungai. Di Siak Raya dan
Pekan Baru kira-kira 80 km ke hulu Siak, terdapat banyak kilang
perusahaan, terutama kilang memproses papan lapis.
Anggota rombongan yang ditempatkan di Wisma Tuah yang baru siap
dibina terpaksa berpuas hati mandi dengan air sungai yang kemerahan. Dan
tidak dapat dielakkan ada yang mandi dalam gelap kerana tidak sanggup
melihat air merah membasahi badan. Apapun jua, rombongan Jejak Bahasa
begitu selesa tinggal di Siak selama empat hari kerana suasana dan
lingkungan yang amat mirip kepada yang terdapat di Malaysia. Saya
sendiri seperti berada di tengah-tengah kaum keluarga dan sahabat handai
di Rembau setiap kali makan dan bercakap dengan penduduk tempatan.
0 komentar:
Posting Komentar