Peranan Pantun Dalam Kehidupan Orang Melayu - Hakikatnya, peranan pantun dalam kehidupan orang Melayu adalah untuk menyampaikan pesan-pesan moral yang sarat berisi nilai-nilai luhur agama, budaya dan norma-norma sosial masyarakatnya. Melalui pantun, nilai-nilai luhur itu disebarluaskan ke tengah-tengah masyarakat, diwariskan kepada anak cucunya. Selain itu, pantun berperanan pula dalam mewujudkan pergaulan yang seresam, mengekalkan tali persaudaraan, hiburan serta penyampaian “aspirasi” masyarakat.
Orang tua-tua
mengatakan dengan pantun banyak yang dituntun. Di dalam ungkapan
dikatakan pantun dipakai membaiki perangai atau pantun mengajar bersopan
santun.
Di dalam penyebarluasan agama, pantun berperanan pula
untuk menanamkan nilai-nilai keagamaan seperti tercermin dalam ungkapan
melalui pantun syarak menuntun.
Untuk melihat sejauh mana peranan pantun dalam kehidupan orang Melayu, dapat disimak dari untaian ungkapan berikut:
Apa guna orang bertenun
Untuk membuat pakaian adat
Apa guna orang berpantun
Untuk mengingat petuah amanat
Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain dan baju
Apa guna orang berpantun
Untuk mengangkat tuah Melayu
Apa guna orang bertenun
Untuk membuat pakaian budak
Apa guna orang berpantun
Untuk mengajar hukum dan syarak
Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain cindai
Apa guna orang berpantun
Untuk membaiki laku perangai
Apa guna orang bertenun
Untuk membuat pakaian nikah
Apa guna orang berpantun
Untuk menyampaikan petuah amanah
Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain pelekat
Apa guna orang berpantun
Untuk mengkaji adat istiadat
Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain selerang
Apa guna orang berpantun
Untuk mengisi mana yang kurang
Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain dan baju
Apa guna orang berpantun
Untuk menimba berbagai ilmu
Kalau orang melabuh pukat
Carilah pancang kayu berdaun
Kalau kurang mengetahui adat
Carilah orang tahu berpantun
Kalau kayu hendak ditarah
Keratlah cabang dengan daunnya
Kalau ilmu hendak bertambah
Dekati orang dengan pantunnya
Apalah guna daun kayu
Untuk tempat orang berteduh
Apalah guna pantun Melayu
Untuk tempat mencari suluh
Di dalam untaian syair tunjuk ajar dikatakan:
Wahai ananda dengarlah pesan
Pantun Melayu jangan tinggalkan
Pakai oleh mu untuk pedoman
Di dalamnya banyak tunjuk ajaran
Wahai ananda intan dikarang
Pantun Melayu jangan dibuang
Di dalamnya banyak amanah orang
Untuk bekalmu di masa datang
Wahai ananda kekasih ibu
Pakai oleh mu pantun Melayu
Di dalamnya banyak mengandung ilmu
Manfaatnya besar untuk diri mu
Wahai ananda permata intan
Pantun Melayu jangan abaikan
Di dalamnya banyak mengandung pesan
Pegang olehmu jadi pedoman
Wahai ananda cahaya mata
Pantun Melayu jangan dinista
Isinya indah bagai permata
Bila dipakai menjadi mahkota
Wahai ananda bijak bestari
Pantun menjadi suluh negeri
Ilmu tersirat payah dicari
Bila disemak bertuahlah diri
Wahai ananda dengarlah amanat
Pantun memantun sudah teradat
Di dalamnya banyak berisi nasihat
Bila dipakai hidup selamat
Selanjutnya dalam untaian ungkapan adat dikatakan:
Apa tanda Melayu jati
memanfaatkan pantun ia mengerti
Apa tanda Melayu jadi
dengan pantun menunjuk ajari
Apa tanda Melayu jati
dengan berpantun ilmu diberi
Apa tanda Melayu jati
dengan berpantun membaiki budi
Apa tanda Melayu jati
dengan pantun membaiki pekerti
Apa tanda Melayu bermarwah
dengan pantun menyampaikan dakwah
Apa tanda Melayu bertuah
dengan pantun memberi petuah
Apa tanda Melayu bertuah
dengan pantun memberi amanah
Apa tanda Melayu bertuah
dengan pantun menyampaikan sunah
Apa tanda Melayu beradat
dengan pantun memberi nasihat
Apa tanda Melayu beradat
dengan pantun meluruskan kiblat
Apa tanda Melayu beradat
dengan pantun membangkitkan semangat
Apa tanda Melayu beradat
dengan pantun membaiki umat
Apa tanda Melayu terbilang
dengan pantun mengajari orang
apa tanda Melayu terbilang
dengan pantun mencelikkan orang
Apa tanda Melayu berbudi
dengan pantun membaiki diri
Apa tanda Melayu berbudi
dengan pantun mencari kaji
Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun menerangi jalan
Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun memberi amaran
Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun mengenal Tuhan
Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun membuka jalan
Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun memberi pedoman
Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun memberi pelajaran
Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun ilmu disempurnakan
Apa tanda Melayu bersifat
dengan pantun ia berwasiat
Apa tanda Melayu bersifat
dengan pantun memberi ingat
Apa tanda Melayu pilihan
dengan pantun ilmu diturunkan
Apa tanda Melayu pilihan
dengan pantun ilmu disampaikan
Apa tanda melayu pilihan
dengan pantun ilmu dikembangkan
Ungkapan-ungkapan
di atas menunjukkan betapa pentingnya peranan pantun dalam kehidupan
orang Melayu. Melalui pantun, tunjuk ajar disebarluaskan, diwariskan,
dan dikembangkan. Melalui pantun pula nilai-nilai luhur dikekalkan dan
disampaikan kepada anggota masyarakatnya.
Acuan ini
menyebabkan pantun Melayu, apa juga jenisnya, tetap mengandungi
nilai-nilai luhur yang patut dan layak dijadikan pegangan oleh
masyarakatnya. Kerananya orang tua-tua mengatakan bahwa di dalam pantun
kelakar atau pantun sindiran atau pantun remaja, tetaplah terkandung
nilai-nilai luhur itu. di dalam ungkapan dikatakan di dalam kelakar
terdapat tunjuk ajar; di dalam seloroh ada petaruh; di dalam menyindir,
terdapat tamsil. Maksudnya, di dalam pantun kelakar, pantun yang
bersifat seloroh dan sindir-menyindir ataupun pantun remaja, tetap
terdapat nilai-nilai luhur yang dijunjungi masyarakat, walaupun
kebanyakannya tidak sesarat yang ada di dalam pantun tunjuk ajar atau
pantun adat dan sejenisnya. Sudah difahami orang Melayu, dalam berpantun
haruslah tetap menampilkan nilai-nilai luhurnya, menampilkan budi
pekerti dan perilaku terpuji. Dalam ungkapan dikatakan di dalam
berpantun, ingat sopan santun. Ungkapan lain menegaskan pantang Melayu
membuang cakap, maksudnya dipantangkan bagi orang Melayu berkata yang
tidak berfaedah, termasuk dalam pantun memantun. Dengan demikian,
walaupun pantun itu bersifat pantun kelakar, misalnya, di dalamnya tetap
terkandung nilai-nilai moral, setidak-tidaknya pantun itu tetaplah
mengacu pada sopan santun Melayu. Acuan ini menyebabkan pantun semakin
berperanan dalam kehidupan orang Melayu.
Dalam pantun
“sindir-menyindir” misalnya, terdapat kritikan-kritikan dan “sindiran”,
baik terhadap sesama anggota masyarakat mahupun terhadap penguasaannya.
Namun, kritik dan sindiran dimaksud dilakukan secara halus dan penuh
kesopanan, tidak mengghina dan menista, apalagi membuka aib malu orang,
dan sebagainya yang dapat menimbulkan pertelingkahan atau perpecahan.
Dalam ungkapan dikatakan menyindir jangan mencibir, maksudnya, menyindir
ataupun mengkritik orang lain jangan menghina. Ungkapan lain menegaskan
dalam menyindir gunakan fikir, maksudnya, menyindir atau mengkritik
janganlah semena-mena, tetapi dilakukan secara arif dan benar,
menggunakan akal dan fikiran, tidak memfitnah membabi buta dan
sebagainya.
Acuan ini semakin menunjukkan betapa besarnya
peranan pantun dalam kehidupan orang Melayu, kerana melalui pantun
“aspirasi” masyarakat dapat disalurkan dengan baik tanpa menimbulkan
perpecahan ataupun perselisihan antara sesamanya.
Peranan lain
dari pantun adalah untuk “ajuk mengajuk” antara bujang dan dara.
Lazimnya acara dilakukan dalam kesempatan tertentu di mana bujang dan
dara berpeluang berbalas pantun. Dalam kesempatan itulah mereka “ajuk
mengajuk” hati masing-masing yang sering berlanjut menjadi ikatan batin,
pertunangan dan perkahwinan.
Pantun remaja (bujang dan dara)
ini pun hendaknya dilakukan secara sopan dan santun serta halus, penuh
dengan ungkapan-ungkapan. Orang tua-tua mengatakan dalam berbalas
pantun, ingat sopan santun. Ungkapan lain mengatakan tanda orang baik
hati, dalam berpantun ia berbudi atau bila hendak tahu orang berbudi,
pantunnya mengandung budi pekerti.
Dalam mendendangkan anak
atau menidurkan anak (dahulu lazimnya di dalam ayunan), orang tuanya
membawakan lagu-lagu yang bait-bait pantunnya mengandung doa, petuah
amanah, sebagai cerminan menanamkan nilai-nilai luhur mereka kepada
anaknya sejak dini.
0 komentar:
Posting Komentar